Setiap orang Islam wajib mempercayai
kewujudan hari akhirat, yang juga disebut hari kiamat, hari pembalasan, hari
hisab atau hari kemudian. Mempercayai wujudnya kiamat menjadi teras kepada
penentuan tahap keimanan seseorang kerana ia adalah salah satu Rukun Iman. Hari
akhirat pasti berlaku tetapi tarikh dan masa adalah rahsia Allah. Manusia hanya
mengetahui sedikit berita mengenai kiamat yang dipaparkan melalui al-Quran,
hadis dan kata hukama’ mengenai tanda-tanda hampirnya kiamat. Dengan wujudnya
tanda-tanda itu, umat akhir zaman diingatkan mengambil
pengajaran daripada apa yang berlaku, untuk lebih berhati-hati dan bersiap
sedia menghadapinya.
Salah satu ayat al-Quran yang menunjukkan tanda
kiamat ialah firman Allah yang
bermaksud:
“Tidak ada satu negeri pun yang tidak
kami binasakan sebelum hari kiamat, atau kami azab negeri itu dengan azab yang
sangat. Yang demikian sudah termaktub dalam ketentuan Kami,” (Surah Bani
Israel, ayat 58).
Ayat itu menggambarkan bahawa, sebelum
tiba kiamat, keseluruhan negeri berada dalam keadaan tidak selamat. Kekacauan
dan huru-hara akan berlaku di mana-mana saja. Manusia juga berkelakuan tidak
senonoh. Malah, penderitaan, kelaparan, pembunuhan, ketakutan dan kezaliman, berlaku di
mana-mana tanpa mengira negara dan kekuasaan. Jika kita perhatikan, tanda-tanda
yang dirakamkan dalam al-Quran itu jelas berlaku di hadapan mata kita.
Peperangan di Teluk
masih berteruasan di antara tentera Islam Iraq dengan tentera Amerika Syarikat
dan sekutunya. Sebelum ini, kekacauan sudah banyak berlaku, seperti peperangan
di Afghanistan, Bosnia, Palestin dan Somalia. Peristiwa yang berlaku itu adalah
bukti kebenaran dan mukjizat al-Quran bahawa
umat mutakhir ini akan berdepan dengan kekacauan. Kekacauan ini berlaku
disebabkan manusia lebih mengutamakan hawa nafsu daripada keluhuran akal budi.
Justeru, keadaan ini
membawa kepada perpecahan yang sekecil-kecilnya sehingga kepada peperangan
senjata. Ayat ini turut dijelaskan melalui sabda Nabi yang bermaksud:
“Bahawa sebaik-baik harta kaum
Muslimin ialah kambing yang dipelihara oleh pengembalanya di puncak bukit dan
di tempat air hujan tergenang.” (Hadis Riwayat Bukhari).
ini bermaksud bahawa kaum Muslimin
pada akhir zaman kelak terpaksa melarikan diri dan memelihara ternakan di
puncak bukit lantaran hendak mengelakkan diri atau hendak memelihara agama dan
dirinya daripada fitnah. Hadis ini juga menggambarkan bahawa kerukunan
masyarakat kini rosak binasa. Keadaan huru-hara dan kesengsaraan yang menimpa
umat mutakhir ini berlaku disebabkan kejahatan yang bermaharajalela.
Ahli hadis
turut menjelaskan bahawa keadaan ini menyebabkan kaum Muslimin yang hendak
menjaga kesopanan dan kesucian dirinya terpaksa mengasingkan diri daripada orang ramai
yang hidup dalam keadaan serba pincang. Huru-hara berlaku di mana-mana saja
sehingga tidak ada satu tempat pun lagi yang boleh dijadikan perlindungan. Pada
masa sama, orang yang berilmu pula semakin ramai yang mati. Ulama dan golongan
alim meninggal dunia tanpa ada yang mengganti. Perzinaan semakin berleluasa dan
ia dilakukan di mana-mana saja tanpa ada rasa malu dan tidak mengira waktu.
Perzinaan seolah-olah menjadi suatu perkara biasa saja.
Dalam hal ini,
Rasulullah bersabda yang bermaksud bahawa pada akhir zaman kelak, sebaik-baik
orang di dunia adalah sama dengan sejahat-jahat anak yang jahat. Hadis ini sebenarnya
satu kata-kata sindiran. Kesimpulannya, dunia ini semakin lama semakin berada
dalam kekacauan akibat lahirnya ramai individu yang suka menabur fitnah dan
pendendam. Selain itu, gejala sosial akibat kepincangan hidup juga
berleluasa.. Dengan masyarakat kini semakin berajakan hawa nafsu, kita harus
mempersiapkan diri dengan melakukan perkara yang disuruh Allah dan meninggalkan
larangan-Nya.
Sekian buat renungan bersama.
DARKenWALKER@yahoo.com
No comments:
Post a Comment